Certificate of Completion and Compliance (CCC), atau dalam Bahasa Malaysia Sijil Penyiapan dan Pematuhan, adalah penting dalam proses pembangunan projek hartanah.
Katakanlah anda masuk maraton, CCC ini adalah garis penamat yang anda tunggu setelah letih tercungap-cungap lari satu kampung. Jadi, apa fungsinya CCC ni, dan kenapa anda perlukannya?
Senang cerita, CCC adalah sijil yang diperlukan apabila bangunan telah siap. Ia merupakan penilaian yang dilakukan oleh sekumpulan ahli profesional tertentu untuk memastikan bangunan tersebut dibina mengikut pelan yang asal, dibina dengan selamat, dan sesuai untuk diduduki.
CCC mengandungi kriteria-kriteria berbeza untuk memastikan pembinaan dinilai dengan teliti. Antara faktor-faktor yang terlibat adalah:
Asas bangunan
Kerja-kerja tanah
Sistem paip
Sistem longkang dan saliran
Lampu jalan
Landskap
Sistem keselamatan kebakaran
Setelah siap, CCC dikeluarkan oleh Principal Submitting Person (PSP), iaitu seorang industri profesional yang mempunyai gambaran lengkap tentang binaan tersebut.
PSP haruslah merupakan seorang ahli profesional dalam industri binaan, sama ada arkitek, jurutera, ataupun pelukis pelan berdaftar. Bila ada pakar yang berkaitan ni barulah rasa yakin kan, takkan nak bagi pada doktor haiwan pulak.
Setelah dapat sain PSP, CCC ini juga ditandatangani oleh kontraktor-kontraktor yang terlibat bagi setiap bahagian-bahagian kerja yang terlibat.
CCC juga turut dihantar dengan dokumen-dokumen sokongan daripada badan-badan yang berkaitan, contohnya syarikat utiliti atau badan keselamatan awam.
CFO adalah versi CCC yang lama. Tujuannya sama saja, iaitu sijil yang memastikan bangunan anda telah dibina dengan mematuhi syarat-syarat yang tertentu.
Perbezaan utama pada CFO adalah tanggungjawab untuk menandatanganinya, yang terletak ke atas pihak berkuasa tempatan.
Maknanya, pihak kerajaan yang kena buat lawatan, penilaian, dan kelulusan. Jadi macam biasalah, kadang-kadang makin banyak proses dan birokrasi yang terlibat.
Industri hartanah di Malaysia mengalami banyak masalah tentang projek yang tertunda, sebab nak tunggu kelulusan dan tandatangan ini semua, tambahan lagi bila pihak berkuasa tak cukup sumber tenaga dalam hal-hal yang memerlukan kepakaran teknikal.
Pada tahun 2007, CCC diperkenalkan untuk menggantikan CFO, bagi mempercepatkan proses bagi pembeli yang ingin pindah ke rumah mereka dengan segera. Jadi, tak perlulah lagi mereka ternganga menunggu kunci yang tak kunjung tiba.
Dalam kata lain, sistem CCC membolehkan ahli profesional yang khusus dalam kepakaran masing-masing menilai bangunan dan memastikan ianya SELAMAT untuk diduduki.
Sebelum diperkenalkan, CCC dah mula diuji pada tahun 1999 bagi jenis rumah tunggal, seperti di bawah:
Oleh kerana rumah jenis ini tidaklah kompleks seperti menara 23 tingkat contohnya, jadi ia digunakan bagi tempoh ujian sistem CCC.
Kini, pihak berkuasa tempatan (PBT) masih lagi memainkan peranan penting dalam memberi kelulusan kepada bangunan yang telah disiapkan.
Mereka bertanggungjawab dalam menerima, memproses, serta meluluskan CCC apabila ia telah siap.
Mereka juga berhak untuk memberi kebenaran terhadap pemantauan tapak bagi memastikan butir-butir binaan, dan juga mempunyai kuasa untuk mengenakan penalti sekiranya sebarang peraturan dilanggar.
Seperti yang kami sebutkan di atas, PSP adalah Principal Submitting Person. PSP ini bertanggungjawab memeriksa segala elemen pada bangunan adalah selamat, jadi memang berat tugas PSP ini.
Pertama sekali, PSP bertanggungjawab dalam memeriksa dan memantau perkembangan projek sepanjang proses binaan. Ini termasuklah:
PSP juga bertanggungjawab untuk melaporkan kepada PBT jika berlaku sebarang pelanggaran pelan atau peraturan, terangkan kenapa ia berlaku, dan pastikan segalanya dibetulkan kembali.
Nak ke tak nak, tugas PSP ni melibatkan banyak dokumen dan kertas kerja, tapi semuanya sangat penting, supaya bila bangunan dah siap nanti anda tak jumpa kipas siling terlekat atas lantai pula.
Kalau PSP gagal melakukan tugas mereka dengan betul, mereka boleh dikenakan penalti.
Sebarang pihak yang tidak mempunyai kelayakan dalam menghasilkan CCC, atau sebarang PSP yang menipu atau menghantar maklumat palsu boleh kena saman sehingga RM250,000, penjara 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
CCC adalah dokumen paling penting yang menandakan bangunan sudah siap, tapi ada juga dokumen-dokumen berkaitan lain yang berguna untuk anda ambil tahu bila bercakap tentang hartanah. Ini termasuklah:
Borang G melibatkan persijilan 21 peringkat yang diperlukan dalam menyiapkan projek binaan.
Borang-borang ini memberi kelulusan bagi elemen-elemen binaan yang berbeza contohnya kerja-kerja tanah dan juga sistem saliran (seperti yang dah disebutkan tadi), dan ianya adalah penting bagi CCC.
Untuk mendapat kelulusan CCC, anda perlu pengesahan dan pelepasan daripada enam penyedia perkhidmatan asas, iaitu:
Bekalan elektrik
Bekalan air
Sistem kumbahan (JPP)
Pelepasan daripada JKPP, jika perlu
Jalan dan sistem saliran
Pelepasan daripada jabatan bomba
Borang F1 dibina supaya PSP boleh memohon kelulusan dan memberitahu siapnya satu-satu elemen binaan yang diperlukan bagi elemen binaan yang lain. Bunyinya mungkin pening sikit.
Sebagai contoh, sebuah apartmen ingin dibina di atas shopping mall. Jadi bila shopping mall ni dah siap, boleh hantar borang F1 sebelum mula membina apartment.
Serahan Milik Kosong adalah dokumen yang anda dah lama tunggu sampai termimpi-mimpi tengah malam. Bila anda dah sain surat ni kira rumah tu anda yang punya.
Dengan proses CCC yang baru, Serahan Milik Kosong boleh dikeluarkan terus bersama-sama kelulusan CCC.
Jadi anda tak perlu tunggu lama; makin cepat untuk anda dapat kunci dan masuk rumah, mop lantai, bentang tikar, gantung periuk kuali, dan buat apa yang anda mahu dengan rumah baru!